Sunday, December 12, 2010

Permergian vokalis Fotograf, Shamrin

2010/11/15

Foto

Single terakhir vokalis Fotograf, Shamrin sebelum meninggal dunia

BERITA kematian bekas vokalis kumpulan Fotograf, Mohd Shamrin Abdul Samad atau Shamrin pada petang Khamis iaitu 11 November lalu, memang mengejutkan. Tambahan pula pada usia 43 tahun, Shamrin dilihat seorang yang aktif dan cergas. Bahkan pada saat kematiannya, dia dikatakan sedang bermain bola sepak mewakili rakan-rakan artis dalam satu perlawanan bola sepak persahabatan. Malahan, beberapa jam sebelum itu, iaitu pada sebelah pagi hari yang sama, wartawan Hip juga sempat melihat Shamrin membuat persembahan di Balai Seni Lukis Negara (BSKL) sempena pelancaran wang syiling mengenang P Ramlee yang dilancarkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Bahkan, kira-kira seminggu sebelum itu, Shamrin juga berkesempatan hadir meluangkan masa di Balai Berita untuk sesi fotografi dan ditemu bual oleh wartawan Hip berkaitan dengan kemunculan album terbarunya.

Dalam temu bual itu, dia memang kelihatan teruja untuk bercerita mengenai lagu-lagu terbaru nyanyiannya.

Apatah lagi, kali ini dia hadir ke industri seni suara dari dua zaman berbeza. Tapi benarlah bak kata pepatah, ikan di laut, asam di darat, dalam kuali bertemu juga.
Untuk sesi bergambar ini, Shamrin, vokalis kumpulan Fotograf dikenali lewat era 80-an, digandingkan dengan Farah Asyikin Zulkifli yang mula membina nama di persada muzik tanah air sekitar tahun 2000.

Namun perbezaan zaman bukanlah penghalang untuk mereka bersatu. Farah Asyikin sendiri ketika memenuhi sesi fotografi ini mendedahkan ‘rahsia besar’ betapa satu ketika dulu dia amat meminati Shamrin.

Tidak hanya Farah saja yang meminati kumpulan itu, bahkan minat itu turut dikongsi bersama seluruh ahli keluarga termasuk bapanya. Ketika itu kaset menjadi medium, oleh itu hampir setiap hari halwa telinga mereka sekeluarga dihidangkan dengan lagu Fotograf yang diputarkan oleh bapa mereka.

Dari situ, berputiknya minat Farah terhadap Fotograf. Kelunakan suara vokalisnya Shamrin tambah membuatkan wanita ini yang ketika itu berada di tingkatan lima semakin jatuh hati kepada Fotograf.

Memandangkan keluarga mereka saling bersahabat, Farah berpeluang bertentang mata dengan Shamrin. Tidak disangka lelaki yang dikagumi itu akan berdiri di hadapannya, pertemuan pertama itu membuatkan Farah terpaku tanpa bicara.

“Kali pertama berjumpa, Farah jadi terpaku. Tak sangka penyanyi yang Farah kagumi berada betul-betul di depan mata Farah, kebetulan keluarga kami memang berkawan. Jadi Farah berpeluang bertemu dengan abang Shamrin. Secara peribadi, Farah amat meminati vokal abang Shamrin. Dia juga tidak sombong walaupun ketika itu namanya dikenali.

“Setelah sekian lama tidak berjumpa, kami bertemu kembali di dalam sebuah persembahan. Bermula dari bertegur sapa, terbit idea untuk bergandingan dalam sebuah lagu.

“Kebetulan abang Shamrin pun ada minta Farah buatkan lagu untuknya, dari situ Farah terfikir untuk berduet saja. Farah juga sebelum ini tak pernah menyanyi duet, kiranya abang Shamrin adalah pilihan yang paling tepat memandangkan ramai penyanyi lelaki sudah berduet dengan penyanyi lain.

“Mula-mula memang tak percaya apabila abang Shamrin minta Farah buat lagu untuk dia. Lagu dan lirik, Kamu Aku Satu adalah milik Farah sepenuhnya, tetapi abang Shamrin ada juga bagi idea sana sini pada bahagian korus untuk mencantikkan lagi lagu itu. Pengalaman menghasilkan lagu untuk penyanyi lain memang amat berbeza berbanding buat lagu sendiri. Farah dapat rasakan tanggungjawab lebih berat apabila membabitkan orang lain,” kata Farah bercerita panjang lebar mengenai Shamrin.

Sementara penyanyi berusia 43 tahun tetapi masih kelihatan muda ini tidak pernah membataskan dirinya untuk menjalin kerjasama dengan bakat baru. Baginya, setiap muka baru dalam industri wajar diberikan peluang asalkan mereka berbakat.

Malah dia juga tidak menghadapi masalah untuk berduet dengan Farah biarpun kali pertama bergandingan. Sekali pun berbeza genre sementelah dia lebih kepada rock serta berbeza zaman, namun vokal mereka mempunyai keserasian.

“Walaupun suara Farah mempunyai elemen jazz dan soul, tetapi kami boleh masuk. Farah ada gaya yang tersendiri, bagi saya tidak perlulah nak membuat perbandingan antara penyanyi otai dan baru. Zaman sekarang ini kita perlu beri peluang kepada setiap pengkarya yang berbakat,” kata Shamrin yang kini bernaung di bawah Alibi Music.

Pernah menanti kepulangan Ringgo

Dalam temu bual ini juga, Shamrin turut meluahkan perasaan rindu terhadap rakan rapatnya, Ringgo iaitu pemain dram Fotograf yang hampir meringkuk di Penjara El-Rodeo 1, Caracas, Venezuela.

Namun sehingga kini berita pembebasan Ringgo atau nama sebenarnya Sham Ahmad masih belum menemui jalan penyudah, sedangkan sebelum ini Ringgo menerusi kiriman emel ada menyatakan yang dia bakal dibebaskan.

Selaku teman rapat, Shamrin menaruh harapan menantikan kepulangan rakan baiknya itu.

Selama ini dia dan Ringgo bersusah payah memperjuangkan nama Fotograf, justeru Shamrin masih mahu menantikan kepulangan Ringgo, jika tiada Ringgo, hasrat untuk menerbitkan album kumpulan Fotograf akan terus terbantut.

“Sepanjang 21 tahun dalam industri hiburan, saya dan Ringgo adalah anggota yang masih terus setia bersama dengan Fotograf. Jadi walau apa sekalipun, saya akan tetap menantikan kepulangannya untuk menghasilkan album terbaru kami.

“Hubungan kami memang akrab kerana hanya kami yang masih kekal dengan Fotograf sedangkan anggota lain pula silih berganti. Sebelum Ramadan yang lalu memang kami sering berhubung menerusi e-mel sekitar tiga minggu sekali. Dia ada beritahu yang dia akan pulang ke tanah air, tetapi selepas dari itu langsung tiada sebarang khabar berita dari dia. Selepas puasa saya ada cuba menghubunginya lagi tetapi gagal,” kata Shamrin yang bakal tampil dengan single terbaru secara solo berjudul Maafkan Pencinta.

Prev: Shamrin kumpulan Fotograf meninggal dunia
Next: Hukum Mengeraskan Bacaan Bagi Imam Dan Orang Yang Shalat Sendirian

No comments:

Post a Comment